Celebrity pictures, creative arts and awesome pictures for your entertainment. | Gambar selebriti, gambar kreatif, lucu dan unik serta foto menarik.
Pages
▼
Gambar Logo Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA 2012 (Euro 2012)
Sepanyol, Belanda dan Jerman, tiga pasukan yang dijangka mampu menjadi juara di Euro 2012 selepas mempamerkan aksi mantap di Piala Dunia Afrika Selatan dua tahun lalu, malah mereka juga konsisten di peringkat kelayakan.
Euro yang merupakan kejohanan bola sepak kedua terbesar dan berpengaruh di seluruh dunia mungkin akan mencipta sejarah kali ini tatkala Ukraine dan Poland merupakan tuan rumah bersama untuk edisi ke-14.
Sejarah yang dimaksudkan mempunyai kaitan dengan ketiga-ketiga pasukan pilihan tersebut yang membariskan skuad hampir sama di Piala Dunia 2010 dan bersedia untuk meraih kejuaraan yang diperkenalkan buat pertama kali pada 1960.
Jika Sepanyol muncul juara kali ini mereka bakal menjadi pasukan pertama yang meraih kejuaraan ini secara berturut-turut, tidak ada pasukan yang pernah menjulang trofi Euro mampu mempertahankan kejuaraan pada edisi seterusnya.
Pasukan bimbingan Vicente del Bosque itu adalah juara ketika Austria dan Switzerland menjadi tuan rumah bersama empat tahun lalu.
Selepas melakar sejarah di Afrika Selatan dengan menjulang Piala Dunia buat kali pertama, La Roja hadir untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dengan membariskan pasukan mantap walaupun tanpa Carles Puyol dan David Villa.
Ketiadaan kedua-dua pemain tersebut dijangka bukan masalah besar buat Sepanyol kerana nadi kekuatan mereka adalah di bahagian tengah terutama sekali gandingan Xavi Hernandez dan Andres Iniesta. Tidak lupa Juan Mata, Sergio Busquets, David Silva dan Xabi Alonso.
Bagi Jerman pula jika muncul juara, mereka akan terus melakar sejarah sebagai pasukan paling banyak menjuarai Euro selepas mencatat kejayaan sebelum ini pada 1972, 1980 dan 1996, mereka juga adalah naib juara pada edisi 2008.
Jerman hadir kali ini dengan barisan yang hampir sama ketika beraksi di Afrika Selatan dan pemain muda mereka yang menyinar dua tahun lalu dijangka sudah matang serta mampu melakukan impak lebih besar.
Nama-nama seperti Manuel Neuer (penjaga gol), Jerome Boateng, Sami Khedira, Mesut Ozil, Thomas Muller, Toni Kroos, Mario Gotze dan Mario Gomez bakal menjadi tunjang kepada pasukan bimbingan Joachim Loew.
Naib juara Piala Dunia 2010, Belanda akan menamatkan kemarau selama 24 tahun jika muncul juara di Euro kali ini. Skuad bimbingan Bert van Marwijk itu mempunyai pasukan yang mantap dan berpengalaman dari posisi penjaga gol hingga ke rangkaian serangan.
The Oranje dilihat bersedia melupakan kekecewaan di Afrika Selatan dan gandingan Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart, Arjen Robben dan Robin van Persie pasti membuatkan pertahanan lawan tidak senang duduk.
Bagaimanapun pasukan ranking pertama dunia (Sepanyol), kedua (Jerman) dan keempat (Belanda) tidak boleh memperkecilkan lawan lain seperti England, Perancis, Itali, Denmark serta Portugal yang dirasakan mampu memberi kesukaran kepada mereka.
England yang membariskan skuad campuran pemain muda dan senior masih mampu mendatangkan gerun walaupun ada yang berpendapat skuad bimbingan Roy Hodgson itu hanya gah dengan bintang Liga Perdana Inggeris tetapi kurang menyengat di kejohanan antarabangsa.
Sementara Perancis pula sejak kelabelakangan ini menunjukkan peningkatan sejak Laurent Blanc mengambil alih jawatan jurulatih, malah pemain muda mereka yang menonjol di Liga Perancis dilihat bersedia membuat kejutan.
Itali walaupun mengharapkan keringat kuda tua seperti Gialuigi Buffon, Andrea Pirlo dan Antonio Cassano tetapi kekuatan mereka tidak harus diperkecilkan selepas mencatatkan rekod bersih tanpa kalah di peringkat kelayakan.
Cristiano Ronaldo pula yang mengetuai Portugal sudah tentu ingin membantu pasukannya muncul juara kali ini sambil mengharapkan rakan sepasukan yang lain seperti Nani, Miguel Veloso, Pepe dan Joao Moutinho sama-sama turut menyerlah.
Tidak mustahil Euro 2012 mampu memberikan kejutan, semua bakal terjawab bermula Jumaat ini dan siapa muncul juara hanya akan diketahui pada 1 Julai ini di Stadium Olympic Kiev.
No comments:
Post a Comment