Resipi dalam menguatkan potensi diri ketika menghadapi pelajaran ialah melalui amalan berdoa. Imam Bukhari berpesan, "Berdoalah apa saja kepada Allah, kerana ia kekuatan orang mukmin. Selain itu, doa adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Muhammad."
Amalan berdoa akan meninggalkan kesan psikologi yang kuat dalam diri seseorang anak kerana mereka menjadi bertambah yakin dan bersemangat tinggi untuk berhadapan dengan apa saja kesulitan ketika aktiviti pembelajaran dijalankan.
Menghadapi pelajaran sama juga halnya menghadapi sesuatu penyakit kerana jiwa tertekan dan dalaman menjadi kurang stabil dengan pelbagai fikiran yang negatif. Maka, melalui berdoa boleh memadamkan emosi negatif itu sehingga menimbulkan kekuatan dalam jiwa yang positif.
Jiwa yang disirami bacaan doa kepada Allah sebenarnya tertanam sikap tawakal yang luhur. Inilah sebenarnya faktor menjadi tunjang ke arah emosi positif ketika melakukan apa saja pekerjaan.
Umat Islam dan hamba Allah seharusnya lebih yakin bahawa melalui amalan doa akan memberikan keberhasilan dalam mencapai tujuan hidup. Ingatlah kita akan peringatan Allah ini: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah ayat 186).
No comments:
Post a Comment