Koleksi Himpunan Doa Bergambar

Koleksi Himpunan Doa Bergambar
Himpunan dan koleksi doa-doa Islamik bergambar untuk rujukan dan panduan.  

Doa Bila Menghadapai Tekanan
Doa menghadapi tekanan stress
Doa Berbuka Puasa dan Niat Puasa
Doa Penerang Hati
Koleksi Himpunan Doa Bergambar
Doa Murah Rezeki
Doa Keluar masuk tandas


Doa senjata orang mukmin

Dalam kehidupan di dunia fana ini, manusia sering bertembung dengan pelbagai masalah sama ada soal peribadi, keluarga atau masyarakat.

Dalam Islam kita dituntut sentiasa berdoa sama ada untuk diri sendiri atau orang lain. Firman Allah dalam Surah Al-Mukmin ayat 60 yang bermaksud, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkan doamu."

Rasulullah juga ada memberi peringatan agar kita berdoa dalam hadisnya: Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah daripada doa.' (riwayat At-Tirmidzi).

Doa adalah senjata paling mujarab dan berkesan yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Melalui Surah al-A'raf ayat 55 Allah berfirman yang bermaksud; "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan rendah diri dan rasa takut, sungguh Allah tidak suka pada orang yang melampaui batas."

Firman Allah lagi dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud; "Jika seorang hamba-Ku bertanya kepadamu tentang diri-Ku, maka katakanlah bahawa Aku dekat, menerima doa orang yang berdoa."

Berdoa sangat dituntut dalam Islam kerana kesungguhan berdoa antara elemen utama diterima sesuatu doa dan jangan cepat berputus asa kerana masih belum tercapai apa yang kita doakan itu.

Diceritakan Muhammad bin Al-Mukandar; "Ketika aku masuk ke dalam masjid, aku melihat seorang lelaki sedang berdiri berdekatan mimbar. Lelaki itu berdiri menghadap kiblat dengan wajah mendongak ke langit dan mengangkat kedua-dua tangannya."

Kata Muhammad Al-Mukandar, "Pada mulanya aku tidak tahu apa yang sedang dibuatnya, tetapi setelah mengamati caranya itu, ketahuilah aku bahawa lelaki itu sedang berdoa meminta hujan."

Muhammad menyambung ceritanya, "Tadi ketika aku di luar masjid keadaan cuaca cerah dan panas. Tetapi setelah melihat lelaki yang berdoa tadi, keadaan cuaca tiba-tiba berubah menjadi mendung dan diiringi tiupan angin kencang dan petir. Keadaan cuaca berubah sama sekali. Kemudian hujan dengan lebatnya dan dalam waktu singkat pekarangan masjid digenangi air hujan. Kemudian lelaki tadi berdoa lagi, Tuhanku, bukan begitu yang hamba maksudkan."

Selepas saja lelaki berkenaan berdoa begitu, keadaan hujan yang lebat mulai reda. Jadi aku berasa amat kagum dan ingin sekali belajar dengan lelaki itu. Sewaktu dia keluar dari masjid untuk pulang ke rumahnya, aku mengekorinya.

Aku kemudian memerhatikan ke mana lelaki itu pergi kerana ingin mengetahui di mana rumahnya. Aku lihat lelaki itu masuk ke dalam rumah keluarga Hazm atau keluarga Umar. Setelah mengenal pasti kedudukan rumah lelaki itu, aku pulanglah ke rumah.

Cerita itu kemudian disambung Muhammad Al-Mukandar lagi. Katanya, "Pada keesokannya aku pergi berjumpa lelaki itu di rumahnya dan menerangkan hajat berjumpanya iaitu untuk meminta pertolongannya menyelesaikan masalah peribadi. Tetapi malangnya lelaki itu enggan memenuhi permohonanku kerana apa yang aku minta itu bukan untuk kepentingan masyarakat."

Pengajaran daripada cerita itu, usah pentingkan diri sendiri tetapi kita diperintahkan memikirkan kepentingan orang lain.

Berdoa amat disukai Allah tetapi amat sedih apabila ramai umat Islam apabila selesai melaksanakan solat, mereka tergopoh-gapah meninggalkan sejadah tanpa berdoa.

Ini memberi gambaran betapa hati kita begitu ghairah dengan hal dunia tanpa berasa pentingnya doa.

Ingatlah, Allah Maha Kaya. Maha Pemurah atas sebab itulah Dia meminta kita berdoa kepada-Nya untuk memohon sesuatu.

Usah berputus asa dalam berdoa. Allah Maha Mengetahui apa dan bila doa kita perlu dikabulkan.

Kita perlu meneliti mengapa doa kita kepada Allah masih belum dimakbulkan. Mungkin ada penghalangnya. Pada suatu hari Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah, doakanlah aku kepada Allah, supaya aku dijadikan Allah orang yang makbul berdoa.

Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Wahai Saad, makanlah daripada barang halal tentu engkau akan menjadi orang makbul doanya. Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya seseorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari.

Siapa saja yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram, maka nerakalah yang berhak untuk orang itu." Hadis riwayat At-Tabrani.

No comments:

Post a Comment