Shila Amzah |
Shila Amzah |
Sebelum ini, pemakaian hijab bagi penyanyi ini lebih sekadar menghormati bulan mulia. Namun, sejak awal Ramadan, hati Shila terbuka untuk berhijab tanpa paksaan sesiapa.
Mengakui dirinya mungkin berdepan masalah kekurangan tawaran gara-gara berhijab, Shila tidak mudah melatah. Sebaliknya, Shila menganggap rezeki sudah ditentukan Allah.
"Saya betul-betul ikhlas untuk berhijrah dan Insya-Allah akan terus kekal sampai bila-bila. Hidayah yang saya dapat ini sudah lama, tetapi tertangguh atas soal kerja dan komitmen, selain saya terfikir kalau berhijrah adakah boleh diterima orang?
"Kalau saya fikir semula, rezeki datang daripada Allah, jadi apa yang saya dapat sebelum berhijrah juga datang daripada-Nya. Sekiranya saya berhijrah, saya rasa tertutup satu pintu rezeki dan Insya-Allah lagi 15 pintu akan terbuka," katanya.
Niat penyanyi ini diluahkan kepada jurusoleknya sejak dua bulan lalu. Namun, ketika itu, segala-galanya belum pasti dan mengambil masa yang lama untuk membulatkan tekad berhijab.
Sebak ketika menceritakan penghijrahannya sehingga mengejutkan keluarga dan teman lelaki, Shaarnaz Ahmad, Shila yang ditemui ketika penggambaran program muzikal Raya Bersama Randy Pangalila di Kuang, Selangor bersyukur dengan sokongan dan penerimaan keluarga dan Shaarnaz.
"Saya bukan tidak mahu bercerita mengenai penghijrahan ini, tetapi takut nanti orang salah anggap dan mengatakan saya tidak ikhlas. Peminat selalu ingat saya nak pakai hijab sekadar untuk Ramadan tetapi saya fikir, tidak perlu saya buat pengumuman mengenainya.
"Saya rasa bersalah sangat sebab sudah berhijab sejak mula Ramadan, tetapi kena buka untuk program rakaman raya. Jadi sejak Sabtu lalu saya bertekad untuk terus berhijab," katanya.
No comments:
Post a Comment